Thursday 13 September 2012

"WARKAH SUSULAN BUAT TEMAN"

Teman...telah aku susuri riwayat hidupmu, telah aku galuri kisah silammu..hidupmu penuh dengan ranjau, hidup mu penuh dengan sasau. Kau palitkan setiap episodmu dengan nada yang berbeza. Plot cerita yang amat menarik untuk diteroka, satu paparan yang amat tragis untuk dibaca. Kisah kebahagiaan yang dikecapi sebentar cuma, kisah cinta kepura-puraan yang hadir dari lelaki durjana. Namun..kisah itu membuat aku tertanya-tanya tentang `kebodohan' si jelita yang sanggup menghambakan cintanya walaupun dia tahu penipuan demi penipuan telah dilakukan oleh manusia yang bergelar hipokrit. Akhirnya plot cerita sudah dijangka jalan penghujungnya...Si Jelita terkandas dalam pemburuannya. Bukan mati syahid dalam `fisabillilah'nya tapi kecundang dengan keegoaan sifat Si Hipokrit yang sentiasa mengambil kesempatan dari `kedaifan' sifat wanita.

Teman..telah diperingatkan berulang kali, jika kau inginkan kebahagian...kau pasti akan mendapatkannya. Dengarkanlah bisikan hatimu dan kau sendiri akan bisa menjawapnya tentang siapakah `Si Teman' yang bisa membawamu belayar menuju ke destinasinya. Seorang khalifah yang sentiasa sujud kepada-Nya, seorang pengembara yang tahu tujuannya, seorang yang dapat memberi kasih sayangnya seperti Muhamad ya Rasullulah memberi kasihnya kepada isteri-isterinya Khadijah binti Khuwailid r.a., Saudah binti Zum'ah r.a., Aisyah binti Abu Bakar r.a., Hafsah binti Omar Al-Khattab r.a., Zainab bin Jahsyin r.a., Zainab binti Khuzaimah r.a., Ummu Salamah (Hindon binti Abi Umaiyah) r.a., Ummu Habibah (Ramlah binti Abi Sufian) r.a., Juwairiyah binti Al-Harith r.a., Maimunah binti Al-Harith, Safiah binti Hoiyi bin Ahtab r.a. dan Mariyah Al-Qibtiyah. Jangan kau dengar sedikit pun gendang yang di palu oleh sang syaitan, yang mendorongmu untuk mendengar janjinya serta menjadikan kau terkongkong dan terpenjara. Jika kau benar-benar ingin bebas...kau jadikanlah dirimu sebagai dirimu seperti mana Rahmah isteri Nabi Ayub yang cukup kuat dan tabah. Setianya hanya kepada `kekasih' nya yang dapat menjanjikan erti kebahagian di dunia dan akhirat. Pengorbanannya bertempat, kesetiaannya beradat...tidak sesekali pun ia mengadaikan maruah kebahagiannya dengan ujian-ujian kepahitan dan keperitan yang cukup kuat yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Teman...`Khalifah' yang kau cari telah tertulis dengan `tinta' keramat-Nya. Sejenis makhluk ciptaan-Nya yang tak pernah berbohong. Pasti akan hadir jua dalam dirimu . Hanya kau sahaja yang tahu apa yang kau cari...hanya kau sahaja yang tahu siapa yang kau sayang dan siapa jua yang kau benci di atas muka bumi ini. Jangan kau salahkan takdir andainya kau kecewa kerana ia sudah suratan yang tertulis untuk mu bagi mengimbangi hikmah yang bakal kau dapt hasil pemberian-Nya. Jangan pula kau cepat lupa dan lalai ke atas nikmat yang diberikan oleh-Nya kerana ia akan lebih menjadikan kau sebagai orang-orang yang rugi dan tidak bersyukur. Allah telah berjanji dalam surah Al-Syarh (Lapang Dada), Firman-Nya: `Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran diserta kemudahan (nikmat dan hikmah). Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan HANYA KEPADA TUHANMU SAHAJALAH, HENDAKNYA ENGKAU BERHARAP. (QS Al-Syarh : 6 - 8)

Teman...senyumlah dan bergembiralah, sesungguhnya `Nur' (cahaya) Nya tetap berada di atas umbun-umbun kepalamu. Jangan sesekali kau tanggisi apa yang berlaku kerana ia akan menambah keperitan dalam jiwamu. Kau bukalah pintu di hadapanmu...pasti di situ ada sesuatu janji kehidupan yang lebih berharga untukmu di dunia dan akhirat. Bukalah `naskah' Al Kareem...pasti kau akan temui rashia keabadian dalam pemburuanmu seterusnya. Jika kau melihat pelangi...jangan kau lihat pada warnanya kerana ia akan hilang bila mentari tiba, kau lihatlah pada garis-garis kehidupannya kerana tanpanya pelangi tak akan nampak ceria dan ia akan terkubur tanpa tanda.

- NUR IMAN - ...episod jangan bersedih

No comments:

Post a Comment