Tuesday 28 August 2012

`TEGURAN BUAT SAHABAT'

Sahabatku, aku hanyalah seorang musafir...berkelana dari satu tempat ke satu tempat, untuk mengenal diri, untuk mencari sesuatu yang hakiki. Aku tak punya rumah yang besar untuk tinggal kerana Allah telah menjadikan aku langit sebagi bumbungnya, aku tak punya lantai marbel indah kerana Allah telah memberi bumi sebagai lantainya. Aku tak punya dinding kaca yang berkilauan kerana Allah telah memberi gunung ganang sebagai dindingnya, cahaya matahari sebagai lampunya, bulan sebagai lampu tidurnya, bintang sebagai lampu kelap-kelipnya. Aku tak perlukan karpet yang mahal kerana Allah telah meganugrahkan aku rumput sebagai alasnya dan aku tak perlukan TV kerana sendiwara manusia sudah cukup membuat aku mengerti bahawa mereka semua pelakon-pelakonnya. Dari timur ke barat, utara ke selatan semua harta percuma yang Allah berikan kepada ku sebagai hamba-Nya...kenapa aku harus membayarnya sedangkan aku diberi percuma? Aku hanya diminta untuk `Sujud serta tunduk berserah diri kepada-Nya dan supaya aku tidak menjadi orang2 musyrikin'. Kita semua adalah manusia yang cukup sempurna, diberi akal dan fikiran untuk berfikir bagi membezakan kewujudan kita dengan makhluk Allah yang lain. Bagi yang boleh berfikir, setiap kehidupan mempunyai urusan yang teratur yang telah ditetapkan oleh-Nya dan tidak sedikit pun ia terlewat dari waktunya. Bulan tak pernah mengejar matahari dalam kitarannya, matahari tak pernah menggangu bulan dalam memberi sinarnya. Malam tak pernah menganggu siang dan siang tak pernah menjengah malam. Bahkan semuanya berjalan dengan cukup rapi dan cukup sempurna. Bukankah itu semua urusan Al Nur, Al Badi', Al Rashid.

Bagi mereka yang riak dan takabur, bagi mereka yang hipokrit dan egois, bagi mereka yang sombong diri dan lupa diri, sesungguhnya kita harus muhasabah diri dan tahu akan asal usul kejadian manusia. Dibuat dari tempat yang `kotor' (kemaluan) dan keluar juga dari tempat yang kotor, benda yang keluar dari tempat yang kotor memang kebiasaannya akan dibuang ke suatu tempat yang kotor (tandas) dan seharusnya di `flush' supaya ia pergi ke satu tempat yang lebih kotor (tangki najis). Perumpamaan itu bagi menunjukkan bahawa manusia itu sama sahaja dan akan menjadi lebih hina dari najis-najis yang ada sekiranya ia mempunyai sifat sombong diri dan hipokrit. Melihat orang lain sentiasa salah sebelum tahu betulnya, melihat orang lain bodoh sebelum tahu pandainya, melihat diri sendiri pandai sebelum tahu bodohnya, melihat orang lain kurang sebelum tahu sempurnanya, melihat diri sendiri lebih Islam sebelum tahu amalnya, melihat orang lain `kafir' sebelum penentuan-Nya. Serba serbi kita suka mendahului Allah di dalam membuat keputusan tanpa disedari ia mengelincirkan diri kita ke satu tahap penghinaan yang nyata. Tidakkah perkataan `Insyallah (jika diizinkan Allah) itu lebih murni sifatnya dari menggunakan perkataan `MESTI' (`Sudah pasti' mengikut maknanya) sebelum tahu ketentuan-Nya. Ia merupakan salah satu penyempangan yang nyata dan tidak disedari mendahului dari yang Maha Esa.

Sesungguhnya sehebat mana sekali pun kita, sekaya mana sekali pun kita, setinggi mana darjat dunia sekali pun kita, secantik mana sekali pun kita, sekacak mana sekali pun kita, semewah mana sekali pun kita, sesenang mana sekali pun kita...ia akan menjadi hina dan sefakir-fakirnya atas kejahilan dan kebongkakkan diri kita. Tidak malukah kita kerana menggunakan nikmat yang diberikan oleh Al Mughni, Al Malik Al Mulk, Al Barr dan dibalas dengan sifat keji kita sendiri. Bagaimana la agaknya jika nikmat itu ditarik balik dalam sekelip mata. Ketika itu kau cuba turunkan sifat hinamu serendah-rendahnya dan kau cuba mendonggakkan kepalamu memohon kepada Al Ghaniyy sambil merintih dan merayu agar nikmat itu dikembalikan sedangkan selama ini kau lupakan Dia. Tidak malukah engkau...

Sahabatku, diri kita tidak pernah cukup, ilmu kita hanya setitis air di lautan, sebutir pasir di daratan. Ilmumu adalah ilmu mu jua dan ilmu ku adalah ilmu ku jua. Allah telah memberikan hak-Nya kepada hamba-hamba-nya mengikut bahagiannya tersendiri. Jangan kau cari di merata tempat, jangan kau selak di mana-mana kerana ianya tiada di sana...kau hanya perlu pergi ke suatu sudut yang sepi dan jarang kau kunjungi. Di situ ada satu naskah Nur Kareem yang di panggil Al Quran...di situ segala-galanya tertulis, satu `wasiat' yang harus dijaga dari peringatan-peringatan-Nya, yang di bawa oleh junjungan Nabi kita Muhamad ya Rasullulah. Sunah-sunahnya juga memperincikan ajaran-ajaran yang di bawa. Islam itu satu, tidak dua dan tidak tiga....Tidak ada yang akan menjadi kafir sebelum tahu amalannya, tidak ada yang akan masuk neraka sebelum ketentuan-Nya, tidak akan tertulis dosa sebelum pelanggarannya. Ya Al 'Afuww, Al Ra'uf, Ya Al Tawwab...Kau kembalikanlah umat-umat Muhamad supaya bersatu mengikut ajaran-Mu, kau lembutkanlah mereka agar terus bersatu, Kau janganlah jadikan mereka berpuak-puak demi mengejar sesuatu, Kau jauhkanlah mereka dari memperalatkan ugama-Mu untuk perpecahan. Islam adalah ugama kesatuan, persaudaraan dan kasih sayang.

Sahabatku...kasih sayang aku sesama manusia, kasih sayang aku sesama umat, kasih sayang aku sesama saudara seugama...temankan la aku ke syurga Firdaus-Nya. Aku ingin mencari teman seperti mana Nabi Musa A.S mencari jiran syurganya. Ya Allah..sesungguhnya aku tahu aku tak layak ke syurga-Mu, namun aku tak sanggup melihat pintu neraka-Mu...tunjukkanlah aku jalan lurus-Mu..amin

CATATAN DIARI YG KE 53 - NUR IMAN -


About Author I Motivation Talks I Articals I Photos & Activities I Other Links I Contact

No comments:

Post a Comment